Kuching City FC memilih beraksi di Stadium Larkin untuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2026/27.
Pemilihan stadium tersebut diketahui menerusi jadual perlawanan peringkat kumpulan ACL2 yang diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Kuching City berada dalam Kumpulan H bersama kelab Hong Kong, Kitchee FC, kelab K-League 1, Gangwon FC dan kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC.
Mengikut jadual AFC, The Cats bakal beraksi di Stadium Larkin buat kali pertama untuk aksi kedua kumpulan menentang Kitchee pada 15 Oktober.
Ini disusuli aksi keempat dan kelima kumpulan pada 5 dan 26 November. Tarikh itu menyaksikan Kuching City akan menentang Gangwon dan Phnom Penh Crown.
Kali terakhir Stadium Larkin digunakan sebagai gelanggang kejohanan di peringkat Asia ialah 8 Mei 2019. Tarikh itu menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan kelab Jepun, Kashima Antlers 1-0.
Selain ACL2, Stadium Larkin turut digunakan sebagai gelanggang rasmi JDT II untuk saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini.