Stadium Larkin kembali memeriahkan saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila dipilih menjadi gelanggang Johor Darul Ta’zim (JDT) II untuk Liga A1 Semi-Pro.
Stadium itu mencuri perhatian ramai peminat JDT selepas Amateur Football League (AFL) mengumumkan senarai perlawanan pertama Liga A1 musim 2026/27.
JDT II yang juga juara bertahan akan membuka kempen liga dengan menentang USM FC pada 28 Ogos ini. Sebaik AFL memuat naik senarai perlawanan di semua platform rasmi mereka, ramai penyokong teruja melihat nama Stadium Larkin.
Sejak beberapa musim lalu, kebanyakan perlawanan JDT II diadakan di Stadium Pasir Gudang. Justeru, peluang menonton pasukan itu beraksi di Larkin dilihat satu peluang keemasan buat para penyokong.
Salah seorang daripadanya ialah seorang pengguna Facebook bernama Shahir Jamaludin. “Selamat kembali, Larkin,” katanya di ruang komen.
Seorang lagi penyokong bernama Zainal Peace turut senada dengannya kerana sudah lama aksi bola sepak tidak mewarnai stadium berkenaan. “Larkin, akhirnya,” katanya.
Kali terakhir Stadium Larkin digunakan sebagai gelanggang JDT ialah 19 Oktober 2019. Pada ketika itu, JDT menewaskan Selangor FC 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.
Stadium Larkin ketika ini menjalani proses penaiktarafan sebagai persediaan menghadapi musim baru liga. Perkara ini dikongsikan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.