Peminat bola sepak meramalkan Selangor FC bakal berdepan tugas sukar mengatasi Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Ini berdasarkan tinjauan pendapat penyokong tentang peluang Selangor dan Jeonbuk untuk aksi keempat Kumpulan H itu di laman sesawang AFC.
Semakan terkini mendapati 80% penyokong memilih kelab Korea Selatan itu. Sementara 14% lagi percaya anak buah Abdi Hassan mampu mencipta kejutan di Stadium Piala Dunia Jeonju.
Manakala 6% lagi penyokong percaya pertarungan Selangor dan Jeonbuk bakal berkesudahan dengan keputusan seri.
Meskipun Jeonbuk disifatkan pilihan utama untuk aksi keempat Kumpulan H, The Red Giants memiliki kelebihan dari segi prestasi semasa. Ini kerana Selangor hanya tewas sekali dalam lima aksi terakhir mereka.
Sementara Jeonbuk pula buntu mencari kemenangan dalam lima aksi terakhir mereka. Ini termasuk kekalahan 2-1 di tangan The Red Giants di Stadium MBPJ pada 23 Oktober lalu.
Ironinya, kali terakhir Jeonbuk meraih kemenangan ialah aksi Kumpulan H menentang Muangthong United di Jeonju pada 3 Oktober lalu.
Jeonbuk dan Selangor bakal berentap buat kali kedua pada 7 November bagi menentukan sama ada Kumpulan H bakal memiliki pendahulu baru atau sebaliknya.