ACLE: AFC Denda JDT Hampir RM30 Ribu
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) telah didenda oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akibat insiden yang berlaku ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) baru-baru ini.

Hukuman ini dijatuhkan oleh Jawatankuasa Etika dan Disiplin AFC yang bersidang susulan tindakan salah laku yang terjadi membabitkan kelab-kelab yang bertanding di peringkat suku akhir ACLE minggu lalu.

Menurut keputusan rasmi, 7 individu yang mewakili JDT telah dikenakan tindakan oleh pengadil ketika aksi suku akhir ACLE menentang Al-Ahli pada Jumaat lalu, sekali gus memenuhi kriteria kesalahan di bawah Artikel 53 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik, difahamkan 6 daripada 7 individu yang disebut di dalam keputusan ini merupakan para pemain JDT yang dilayangkan kad kuning pada aksi tersebut.

Susulan itu, JDT diarahkan untuk membayar denda sebanyak USD7,000 (kira-kira RM27,657.66) atas kesalahan di bawah Artikel 53.1, dibaca bersama Artikel 3.1 Pekeliling Tatatertib Liga Juara-Juara Asia Elit 2025/26.

Badan induk bola sepak Asia itu turut menetapkan bahawa jumlah denda tersebut harus dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

Pada aksi berkenaan, JDT terpaksa akur tewas 1-2 kepada juara bertahan, Al-Ahli setelah dua jaringan daripada Frank Kessie dan Weverton Galeno menamatkan perjalanan wakil negara ini di pentas ACLE.