ACLE: “Bukan Masalah Besar” – Jurulatih Vissel Kobe
MakanBola
Vissel Kobe

Jurulatih Vissel Kobe, Michael Skibbe tidak marah dengan tindakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menendang bola keluar apabila pemainnya mengalami kecederaan.

Aksi terbaru Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) itu menyaksikan kedua-dua pasukan memburu kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Pemain JDT mencetuskan kemarahan Kobe apabila tidak menendang bola keluar pada minit ke-12. Ini kerana pada ketika itu, seorang pemain pelawat mengalami kecederaan.

Ini sama sekali berbeza dengan apa yang dilakukan pemain Kobe pada separuh masa kedua. Selepas melihat seorang pemain JDT cedera, pemain pelawat menolak bola keluar atas semangat kesukanan.

Apabila diminta mengulas insiden berkenaan, Skibbe tidak melihat itu sebagai satu isu. Ini kerana beliau faham JDT berusaha memburu kemenangan demi menjamin tempat ke pusingan 16 ACLE.

“Saya fikir perkara sebegini berlaku dalam bola sepak terutama untuk pasukan JDT. Kebiasaannya, mereka perlu menang dan mereka mahu mendapatkan peluang untuk mendapatkan bola semula.

“Jadi, itu bukan satu masalah besar. Walaupun jika anda membaling bola ke dalam tetapi di hadapan, itu bukan satu masalah.

“Tetapi dalam kes ini, ini bukan satu masalah besar,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Kobe mengalami kekalahan kedua dalam ACLE apabila tewas 1-0 kepada JDT. Marcos Guilherme muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada separuh masa kedua.

Keputusan ini menyaksikan JDT mengiringi Kobe, Machida Zelvia, Sanfrecce Hiroshima, Buriram United dan Melbourne City ke pusingan seterusnya.