Hasrat Buriram United untuk mendapatkan tiga mata berharga di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas di tangan kelab gergasi Jepun, Kawasaki Frontale dalam aksi Asian Champions League Elite (ACLE) pada Selasa.
Buriram yang dibimbing Osmar Loss menurunkan skuad terkuat dengan menurunkan beberapa nama besar seperti kapten skuad kebangsaan Malaysia, Dion Cools dan pemain berpengalaman, Theerathon Bunmathan.
Manakala Kawasaki Frontale mempertaruhkan penyerang berbisa dari Brazil, Erison sambil dibantu penyerang veteran berusia 37 tahun iaitu Yu Kobayashi.
Perlawanan dimulakan dengan Kawasaki Frontale berjaya mengawal perlawanan dengan variasi hantaran pendek yang tepat manakala Buriram menunggu untuk melancarkan serangan balas.
Peluang terbaik Buriram hadir pada minit ke-21 melalui Luca Crispim yang sempat menguis hantaran Theerathon namun percubaannya sedikit tersasar.
Erison turut berpeluang memberikan Kawasaki Frontale pendahuluan pada minit ke-30 namun percubaan penyerang tersebut hanya melintasi hadapan gol.
Biarpun kedua-dua pasukan saling menyerang namun tiada jaringan dapat dihasilkan untuk menamatkan babak pertama dengan keputusan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Kawasaki Frontale memperkemaskan rentak permainan dengan lebih mendominasi perlawanan.
Dion Cools hampir sahaja meletakkan Buriram United di hadapan pada minit ke-70 namun rembatan leret yang dilepaskan berjaya diselamatkan penjaga gol Kawasaki, Jung Sung-ryong.
Jaringan yang dicari-cari Kawasaki akhirnya tiba pada minit ke-79 melalui rembatan deras kaki kiri Sota Miura sekali gus menewaskan penjaga gol Buriram, Neil Etheridge.
Ketinggalan satu jaringan, Buriram cuba membina semula permainan dengan serangan balas yang pantas.
Pemain gantian Kawasaki, Shin Yamada mempunyai peluang keemasan untuk mencetak jaringan pada minit ke-88 namun rembatannya membias dan ditangkap Etheridge.
Ketika perlawanan hampir tamat, Kawasaki menambah jaringan kedua menerusi pemain gantian, Daiya Tono yang merembat leret untuk menewaskan Etheridge.
Kawasaki menambah derita Buriram dengan jaringan ketiga menerusi penyudah seorang lagi pemain gantian, Soma Kanda.
Kedudukan 3-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan dan menyaksikan Kawasaki pulang dengan tiga mata berharga.
Untuk aksi seterusnya, Buriram akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 3 Disember depan manakala Kawasaki Frontale pula akan berdepan Shandong Taishan pada 4 Disember.
Rangkuman Perlawanan DI SINI.