Kelab Korea Selatan, Gwangju FC kini menghela nafas lega kerana dapat beraksi di Stadium Piala Dunia Gwangju untuk aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Sebelum ini, ramai pemain dan jurulatih pihak lawan menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kualiti padang stadium berkenaan bila menentang Gwangju.
Antara jurulatih yang berang dengan keadaan padang Stadium Piala Dunia Gwangju ialah jurulatih interim Yokohama F. Marinos, John Hutchinson.
“Ada masalah dengan rumput (stadium). (Stadium Piala Dunia Gwangju) ini memang dipilih Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (sebagai venue Gwangju).
“Tetapi saya lebih rela memohon maaf tentang keputusan perlawanan (kekalahan 7-3 di tangan Gwangju) daripada mengambil tanggungjawab tentang hal itu (isu padang),” ujarnya.
Malah, isu tersebut turut mencetuskan rasa tidak puas hati jurulatih Gwangju sendiri, Lee Jung-hyo. “Tiada padang lebih teruk daripada Gwangju. Membuat perbandingan tentangnya ialah kerja sia-sia,” katanya.
Isu ini juga menyebabkan Gwangju terpaksa bermain di Stadium Yongin Mireu, 234 kilometer dari stadium keramat mereka untuk aksi ACLE menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berpandangan keadaan padang Stadium Piala Dunia Gwangju tidak sesuai dan merbahaya untuk aksi berkenaan.
Susulan itu, pihak berkuasa Gwangju melaksanakan kerja pemulihan padang menyeluruh bagi memastikan ia mencapai kualiti yang bagus.
Hasilnya, Gwangju dibenarkan beraksi di stadium berkenaan untuk aksi ACLE menentang Shanghai Shenhua pada 27 November ini.
“Saya fikir amat penting untuk aksi kelima ACLE dimainkan di stadium yang menjadi gelanggang sendiri (Gwangju).
“Dan saya akan lakukan yang terbaik untuk menguruskan keadaan rumput supaya para pemain dapat menunjukkan persembahan terbaik pada masa akan datang,” kata Ketua Bahagian Kebudayaan dan Sukan Kerajaan Gwangju, Kim Sung-bae kepada Sports Chosun.
Berita ini cukup penting lebih-lebih lagi pasukan itu kini berdepan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan termasuk ACLE.