Interaksi santai Marcos Guilherme bersama penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mencuri perhatian ramai.
Marcos Guilherme antara salah seorang watak penting buat JDT ketika menumpaskan Sanfrecce Hiroshima di pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite (ACLE) pada Rabu.
Walaupun kalah 1-0 semalam, JDT tetap berjaya ke pusingan suku akhir ACLE selepas keputusan agregat masih memihak wakil tunggal negara itu hasil kemenangan pada perlawanan pertama lalu.
Sebaik perlawanan di Hiroshima berakhir, akaun media sosial Thread Marcos Guilherme terus menjadi tumpuan penyokong setia JDT yang sekali lagi tular dengan ucapan dan persoalan yang diajukan.
Tonggak berusia 30 tahun itu mengucapkan selamat malam sambil berseloroh tentang detik bersejarah perlawanan dan bertanya tentang debaran para peminat yang masih terasa selepas aksi penuh dramatik itu.
”Selamat malam, keluarga JDT! Satu lagi malam bersejarah! Ada sesiapa lagi yang jantungnya masih berdegup kencang selepas perlawanan macam ni?” soal Marcos Guilherme di laman Thread.
Hantaran pada lewat malam itu tetap mendapat reaksi ceria peminat yang turut sama meraikan kejayaan bersejarah JDT sambil memuji usaha berpasukan kesemua pemain terlibat pada aksi semalam.
Dalam hantaran berbeza, Marcos Guilherme mengucapkan berterima kasih atas sokongan semua, sambil berjanji akan terus usaha demi memastikan kejayaan JDT di pentas Asia.