Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United sekali lagi terikat seri dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE).
Aksi tumpuan derbi Asia Tenggara antara Buriram United dan JDT akhirnya menjadi kenyataan di pusingan 16 terbaik ACLE dengan kedua-dua pasukan ini memburu tiket untuk mara ke suku akhir.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah ketika aksi pusingan liga ACLE pada Disember lalu yang menyaksikan JDT dan Buriram United terikat seri 0-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Gandingan Arif Aiman dan Bergson menjadi taruhan jurulatih JDT, Hector Bidoglio di jentera serangan sementara Buriram United dibarisi pemain-pemain utama seperti Dion Cools dan Guilherme Bissoli.
Sepanjang permainan, JDT tampak sedikit bergelut dengan keadaan padang yang agak sehingga menyukarkan pemain-pemain JDT untuk merencanakan serangan di jentera sayap kanan dan kiri.
Bissoli dan Martin Boakye hampir mencetak gol pertama perlawanan namun percubaan ke arah gawang JDT agak sedikit tersasar untuk kedua-dua pasukan kembali hampa tanpa jaringan.
Separuh masa pertama tamat, Buriram United 0-0 JDT.
Kembali dari bilik persalinan, Hector Bidoglio dengan pantas membuat pertukaran dan membawa masuk bintang baharu, Samu Castillejo serta Jorge Obregon dalam misi memburu gol pendahuluan.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-64 apabila hantaran dari Lucas Crispim ditanduk deras oleh Suphanat Muenta namun ditepis keluar oleh Andoni Zubiaurre untuk pastikan gawang JDT terus kebal.
Aksi di Chang Arena berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Perlawanan timbal balik bakal berlangsung pada 11 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8 malam.