Aksi saingan Liga Juara-Juara Elite (ACLE) malam ini menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menewaskan Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim.
Skuad kendalian Hector Bidoglio turun dengan misi memburu kemenangan kedua ditambah dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.
Sementara anak buah Kim Pan-gon terdesak mencari kemenangan pertama dalam saingan ACLE musim ini selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut.
Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka jaringan seawal lapan minit permainan, menerusi pemain sayap berbisa Arif Aiman bijak mencuri peluang di atas kesilapan pemain pertahanan Ulsan, Yong-gwon Kim.
Pada minit ke-23 permainan, pemain import Ulsan, Matheus Sales terpaksa dikeluarkan akibag kecederaan dan digantikan dengan Chung-yong Lee.
Jurulatih Ulsan Hyundai, Kim Pan-gon kemudiannya membuat satu lagi pertukaran pemain pertahanan tengah, Yong-gwon Kim pada minit ke-35 permainan.
Sehingga tamat separuh masa pertama, keputusan kekal Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 Ulsan Hyundai.
JDT terus menghukum Ulsan HD apabila pada minit ke-67 permainan, Oscar Arribas berjaya menjaringkan gol kedua pasukan selepas rembatannya terbias masuk ke gawang mengelirukan penjaga gol Ulsan.
JDT kini berada di tangga ke-6 kumpulan timur dengan 7 mata. Sementara, Ulsan HD terus kekal tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas tewas empat perlawanan.
Selepas ini, JDT akan bertemu Shandong Taishan dan Ulsan HD menentang Shanghai Port pada 26 November ini.