ACLE: “JDT Tak Perlu Takut” – Xisco Munoz
MakanBola
Johor Southern Tigers

Ketua jurulatih kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengingatkan para pemainnya agar terus percaya kepada kemampuan sendiri menjelang aksi getir menentang Al-Ahli pada Jumaat.

Pertembungan antara Al-Ahli vs JDT dalam perlawanan suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) akan menjadi satu ujian terbaik bagi menilai kemampuan skuad Harimau Selatan di pentas tertinggi Asia.

Ini ditambah dengan status pasukan lawan iaitu Al-Ahli yang akan turun sebagai juara bertahan selain lambakan bintang berkelas dunia yang memperkuat kelab gergasi Arab Saudi itu ketika ini.

Walaupun begitu, Xisco Munoz enggan anak-anak buahnya berasa gentar apabila turun berdepab Al-Ahli pada Jumaat selepas mengambil kira persiapan rapi yang dilakukan bagi menghadapi aksi ini.

“Untuk perkara pertama, kami (JDT) tidak perlu berasa takut kerana kami sudah melakukan persiapan menghadapi semua kemungkinan yang mereka boleh lakukan,” ujar Xisco Munoz.

“Kami telah lama mengikuti mereka dan tahu dengan jelas corak permainan mereka.

Para pemain JDT juga dituntut untuk kekal fokus sepanjang 90 minit permainan supaya setiap detik serta situasi di atas padang dapat diterjemahkan mengikut perancangan seperti direncana.

“Penting bagi memahami situasi perlawanan, dan lebih-lebih lagi apabila kami beraksi di stadium mereka (dan) di hadapan penyokong sendiri.”

“Sudah pasti minit-minit awal akan menjadi detik yang amat sukar. Maka, kami perlu benar-benar bersedia untuk hadapi permulaan permainan kerana fokus pada fasa tersebut amat penting.”

Aksi Al-Ahli vs JDT bakal berlangsung pada Jumaat, 17 April di King Abdullah Sports City dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 10.45 malam waktu Malaysia.