ACLE: JDT ‘Tunggu’ Buriram United & 3 Jaguh Asia Di SSI
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadualkan menanti kunjungan 4 kelab handalan Asia termasuklah musuh tradisi, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim akan datang.

Sesi undian ACLE 2026-2027 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu menyaksikan wakil tunggal Malaysia, JDT akan bertemu 8 kelab handalan di rantau Asia dengan format liga satu pusingan bermula bulan September hadapan.

Daripada 8 perlawanan di pusingan liga tersebut, 4 aksi bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim termasuklah pertembungan menentang Buriram United yang dianggap musuh tradisi pasukan Harimau Selatan itu semenjak beberapa musim ini.

Aksi menentang Buriram United pastinya menjadi tumpuan memandangkan JDT bakal membawa misi membalas dendam di atas kekalahan 3-1 di laman sendiri semasa kali terakhir mereka bertemu di SSI pada Mei lalu di pentas Shopee Cup.

Selain menanti kunjungan Buriram United, JDT juga bakal berentap dengan Daejeon Hana Citizen (Korea Selatan), Port FC (Thailand) dan Cong An Ha Noi (Vietnam) bagi melengkapkan 4 aksi di laman sendiri dalam format liga sepusingan ACLE.

Manakala, baki 4 perlawanan akan dihadapi JDT di tempat lawan antaranya bertemu Jeonbuk Hyundai dan Pohang Steelers di Korea Selatan, berdepan Newcastle Jets di Australia sebelum terbang ke Thailand untuk menentang Ratchaburi.