ACLE: Jurulatih Vissel Kobe Salahkan Padang
MakanBola
Vissel Kobe

Jurulatih Vissel Kobe, Michael Skibbe menyalahkan kualiti padang sebagai punca pasukan itu gagal bersaing dengan Al-Ahli dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Kobe pada awalnya mendahului pada separuh masa pertama menerusi bekas penyerang Newcastle United, Yoshinori Muto.

Al-Ahli kemudiannya bangkit menyumbat gol penyamaan menerusi Galeno pada minit ke-61. Bekas penyerang Brentford, Ivan Toney meledakkan gol kemenangan sembilan minit selepas itu.

Selepas perlawanan, Skibbe menyifatkan kualiti padang Stadium Raja Abdullah tidak bagus jika dibandingkan dengan padang Stadium Putera Abdullah Al-Faisal.

“Padang di Stadium Raja Abdullah sangat teruk, tidak seperti padang yang bagus di Stadium Putera Abdullah al-Faisal,” katanya seperti dilaporkan SNE Sports.

Isu tersebut dilihat bukan penghalang buat anak buah Matthias Jaissle mara ke final. Al-Ahli kini menunggu sama ada Machida Zelvia atau Shabab Al-Ahli sebagai lawan di pentas final.

Tidak kira siapa lawan mereka di peringkat akhir, Al-Ahli berharap dapat mempertahankan gelaran juara ACLE yang dimenangi pada musim lalu.