ACLE: Kedudukan Terkini JDT Selepas Diikat Buriram United
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di kedudukan terbaik walaupun terikat seri menentang Buriram United dalam aksi pembukaan AFC Champions League Elite (ACLE) 2026-2027 pada Selasa.

Keputusan seri 1-1 terhasil di Stadium Sultan Ibrahim yang menyaksikan JDT terpaksa akur berkongsi satu mata bersama wakil Thailand, Buriram United dengan dua kad merah menjadi tumpuan pada pertembungan hangat ini.

Oscar Arribas meletakkan pasukan JDT di hadapan pada minit ke-26 hasil satu percubaan kencang yang menewaskan Neil Etheridge sebelum Stefan Schimmer menyamakan kedudukan 1-1 buat pelawat ketika babak pertama hampir tamat.

Tiada tambahan jaringan di separuh masa kedua, sebaliknya dua kad merah mencemari pertemuan ‘El-Clasico ASEAN’ ini apabila Kenny Dougall dan Eddy Israfilov masing-masing diperintah keluar padang di minit ke-56 serta 90.

Keputusan seri ini meletakkan JDT dan Buriram United masing-masing di tangga keenam serta ketujuh carta ACLE Zon Timur selepas 6 perlawanan berlangsung pada minggu pertama dengan dua lagi aksi akan diadakan pada Rabu.

Kedudukan terkini menyaksikan dua wakil dari Jepun, Kashima Antlers dan Gamba Osaka menerajui carta ACLE Zon Timur hasil kemenangan besar 7-1 dan 4-1 dicatatkan ke atas Newcastle Jets dan Cong An Ha Noi pada hari yang sama.

Ujian seterusnya menanti JDT di pentas ACLE adalah wakil Korea Selatan, Pohang Steelers di tempat lawan pada 13 Oktober nanti sementara Buriram United akan menanti kunjungan Beijing Guoan dari China di laman sendiri.