Machida Zelvia melakar sejarah mara ke perlawanan akhir AFC Champions League Elite (ACLE) buat kali pertamanya setelah mengalahkan Shabab Al-Ahli pada awal pagi Rabu.
Kemenangan bersejarah 1-0 dilakar oleh Machida Zelvia dari Jepun ini setelah berjaya menghampakan kelab UAE, Shabab Al-Ahli dalam perlawanan separuh akhir yang cukup dramatik dan sengit.
Seawal minit ke-12, Yuki Soma berjaya meletakkan Machida Zelvia di hadapan setelah rembatan kencang kaki kanannya gagal diselamatkan oleh penjaga gol Shabab Al-Ahli, Hamad Abdullah.
Aksi bertukar panas seketika apabila pengadil memberikan tendangan penalti buat Machida Zelvia selepas Yuki Soma didakwa dikasari di dalam kotak penalti namun semakan VAR membatalkannya.
Hasrat Shabab Al-Ahli untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila jaringan Guilherme Bala pada minit ke-64 dibatalkan setelah penjaga garisan menangkap posisinya dalam keadaan ofsaid.
Pada masa tambahan, gol penyamaan Shabab Al-Ahli oleh Guilherme Bala sekali lagi dibatalkan pengadil oleh kerana pertukaran pemain Machida Zelvia masih berlangsung ketika gerakan itu berlaku.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan 1-0 buat Machida Zelvia sekali gus membawa wakil dari Jepun ini layak ke final ACLE buat kali pertama dan akan bertemu jaguh tuan rumah, Al-Ahli.