Machida Zelvia berdepan detik cemas sebelum akhirnya berjaya menewaskan kelab gergasi Arab Saudi, Al-Ittihad dalam aksi suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE).
Kemenangan tipis 1-0 dicapai oleh Machida Zelvia dari Jepun selepas beraksi penuh berdisiplin sebelum menyingkirkan Al-Ittihad sekali gus memastikan slot ke peringkat separuh akhir ACLE nanti.
Gol pembukaan berjaya disumbangkan oleh penyerang, Tete Yengi yang menyudahkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti Al-Ittihad dan meletakkan Machida Zelvia di hadapan pada minit ke-31.
Bersambung babak kedua, kelab Arab Saudi yang dibarisi pemain-pemain bintang terus menekan benteng Machida Zelvia namun masih gagal untuk memecahkan kebuntuan jaringan.
Hasrat Al-Ittihad bagi memperoleh gol penyamaan di minit akhir permainan bagaimanapun tidak kesampaian selepas pengadil membatalkan jaringan Danilo Pereira kerana bola mengenai tangan.
Hasilnya, tiada jaringan yang terhasil sekali gus mengakhiri aksi dengan keputusan 1-0 memihak Machida Zelvia.
Kemenangan ini membawa Machida Zelvia ke separuh akhir ACLE dan bakal berdepan pemenang antara Buriram United atau Shabab Al-Ahli yang akan berentap dalam satu lagi aksi suku akhir.