Jadual suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) bakal dimeriahkan dengan kehadiran 8 kelab terbaik Asia termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Malaysia.
Fokus peminat bola sepak Asia kini tertumpu kepada saingan ACLE yang bakal memasuki peringkat suku akhir setelah aksi pusingan 16 terbaik baru sahaja menutup tirai selepas baki 4 perlawanan Zon Barat dilangsungkan.
4 perlawanan ini terpaksa ditunda sebelum ini akibat konflik yang melanda rantau Timur Tengah hingga memaksa pihak AFC mencari tarikh baharu dan dilangsungkan sedikit lewat berbanding Zon Timur.
Keputusan pusingan 16 terbaik Zon Barat ini menyaksikan Al-Ahli selaku juara bertahan menepati ramalan apabila mara ke suku akhir selepas menyingkirkan Al-Duhail 1-0 hasil jaringan Riyad Mahrez.
Kejutan turut berlaku membabitkan sebuah lagi kelab kaya-raya dari Arab Saudi iaitu Al-Hilal yang tumbang kepada Al-Sadd menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat seri 3-3.
Kelab dari UAE, Shabab Al-Ahli pula tampil cukup garang demi menjamin tempat ke suku akhir setelah membenam Tractor 3-0 dalam aksi yang dicemari layangan kad merah kepada pemain dari wakil Iran itu.
Slot terakhir ke pusingan suku akhir menjadi milik Al-Ittihad yang beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri bagi mengalahkan Al-Wahda 1-0 hasil sepakan penalti lewat oleh Fabinho.
Pusingan suku akhir nanti menyaksikan Al-Sadd akan turun menentang pasukan dari Jepun, Vissel Kobe manakala JDT selaku wakil Malaysia bakal berdepan tentangan oleh juara bertahan, Al-Ahli.
Sebuah lagi pasukan dari ASEAN, Buriram United dijadualkan bertemu Shabab Al-Ahli untuk penentuan tiket separuh akhir manakala Al-Ittihad bakal beradu kekuatan bersama Machida Zelvia.
Jadual Aksi Suku Akhir ACLE
Al-Sadd vs Vissel Kobe.
17 April 2025.
12.15 pagi.
Al-Ahli vs JDT.
17 April 2026.
10.45 malam
Machida Zelvia vs Al-Ittihad
18 April 2026.
2 pagi
Buriram United vs Shabab Al-Ahli.
19 April 2026.
12.15 malam