Wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) sah bakal bertemu Al-Ahli dari Arab Saudi pada aksi suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE).
Sesi undian suku akhir ACLE pada 25 Mac lalu menyaksikan JDT bakal bertemu pemenang perlawanan antara Al-Ahli vs Al-Duhail yang akan turun dalam aksi pusingan 16 bagi Zon Barat.
Ini selepas 4 perlawanan pusingan 16 terbaik ACLE terpaksa ditunda sebelum ini gara-gara konflik yang berlaku di rantau Timur Tengah termasuklah pertemuan antara Al-Ahli vs Al-Duhail.
JDT yang buat pertama kalinya mara ke suku akhir ACLE pula menantikan pertembungan ini penuh debar sebelum akhirnya Al-Ahli menoktahkan kemenangan 1-0 selepas tamatnya 120 minit permainan.
Jaringan tunggal Riyad Mahrez menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-117 sudah memadai untuk membawa juara bertahan itu melangkah ke peringkat suku akhir ACLE musim ini.
Kemenangan 1-0 ini juga mengesahkan Al-Ahli sebagai lawan JDT di pusingan suku akhir nanti sekali gus memberikan rasa penuh debaran buat kesemua peminat bola sepak tempatan nanti.
Aksi suku akhir ACLE antara JDT vs Al-Ahli akan berlangsung pada Jumaat, 17 April ini di King Abdullah Sport City, Jeddah dengan sepak mula perlawanan dijadualkan jam 10.45 malam tertakluk kepada sebarang perubahan.