Buriram United Jumpa Shabab Al-Ahli Di Suku Akhir ACLE
MakanBola
BUFC/SADFC

Wakil Thailand, Buriram United sah bakal bertemu Shabab Al-Ahli dari UAE pada aksi suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE).

Ini selepas 4 perlawanan pusingan 16 terbaik ACLE terpaksa ditunda sebelum ini gara-gara konflik yang berlaku di rantau Timur Tengah termasuklah pertemuan antara Tractor S.C. dan Shabab Al-Ahli.

Sesi undian suku akhir ACLE pada 25 Mac lalu menyaksikan Buriram United bakal bertemu pemenang perlawanan antara Tractor S.C. vs Shabab Al-Ahli yang akan turun dalam aksi pusingan 16 bagi Zon Barat.

Buriram United yang buat kedua kalinya mara ke suku akhir ACLE pula menantikan pertembungan ini penuh debar sebelum akhirnya Shabab Al-Ahli menoktahkan kemenangan 3-0 selepas tamatnya 90 minit permainan pada pagi Rabu.

3 jaringan pada babak kedua perlawanan cukup sempurna untuk membawa wakil dari UAE itu melangkah ke peringkat suku akhir ACLE musim ini.

Kemenangan 3-0 ini juga mengesahkan Shabab Al-Ahli sebagai lawan Buriram United di pusingan suku akhir nanti sekali gus memberikan rasa penuh gementar buat kesemua peminat bola sepak di Thailand nanti.

Aksi suku akhir ACLE antara Buriram United vs Shabab Al-Ahli akan berlangsung pada Ahad, 19 April ini di Prince Abdullah Al Faisal Stadium Jeddah dengan sepak mula perlawanan dijadualkan jam 12.15 malam tertakluk kepada sebarang perubahan.