Buriram United Juara Liga Thailand Kali Ke-5 Berturut-Turut
MakanBola
Buriram United

Buriram United muncul juara Thai League 1 musim 2025/26 dengan baki lima perlawanan.

Kejayaan itu dicapai meskipun pasukan itu diikat 2-2 dengan Ratchaburi dalam aksi terbaru Thai League 1.

Buriram dua kali mendahului menerusi Guilherme Bissoli dan Narubadin Weerawatnodom. Ratchaburi bangkit dengan menyumbat gol penyamaan menerusi Gleyson dan Jesse Curran.

Ini gelaran juara liga kelima berturut-turut yang dimenangi Buriram United sejak musim 2021/22. Ini juga trofi pertama Mark Jackson bersama Buriram sejak mengambil alih pasukan itu pada Oktober 2025.

Kejayaan ini membolehkan anak buah Jackson kini mengalihkan fokus kepada baki pemburuan trofi musim ini.

Selepas bergelar juara Thai League 1, Buriram juga masih berpeluang bergelar juara Thai FA Cup, Thai League Cup dan Shopee Cup.

Kelab gergasi Thailand itu juga antara empat pasukan dari wilayah Timur yang beraksi di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Tiga pasukan kini fokus merebut slot kelayakan ACLE selaku naib juara. Selain Ratchaburi, Bangkok United dan Port juga turut mengintai slot sama.