Johor Darul Ta’zim (JDT) antara 4 pasukan terbaik dari Asia Timur yang mengesahkan slot ke suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) 2025-2026 lebih awal.
Saingan ACLE bakal memasuki pusingan suku akhir selepas 4 tempat berjaya diisi oleh pasukan-pasukan handalan dari rantau Asia Timur termasuklah wakil tunggal Malaysia, JDT.
JDT melakar sejarah apabila layak ke suku akhir ACLE untuk pertama kalinya setelah menyingkirkan Sanfrecce Hiroshima 3-1 secara agregat setelah terikat seri tanpa jaringan dalam aksi kedua.
Selain JDT, satu lagi pasukan gergasi ASEAN, Buriram United turut berjaya melepasi pusingan 16 terbaik ini buat kali kedua selepas menumpaskan Melbourne City menerusi penentuan sepakan penalti.
Dua lagi tiket menjadi milik kelab dari Jepun iaitu Vissel Kobe dan Machida Zelvia setelah masing-masing menewaskan FC Seoul dan Gangwon untuk melengkapkan 4 wakil Asia Timur ke suku akhir ACLE.
Kini, tumpuan terarah kepada 8 pasukan dari Asia Barat yang akan bersaing untuk merebut 4 lagi slot ke suku akhir setelah perlawanan di rantau sana terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.