Bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha melihat pasukan Timur Tengah sebagai halangan yang perlu dilepasi Johor Darul Ta’zim (JDT) jika ingin mara lebih jauh dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya tentang cabaran yang akan dihadapi Xisco Munoz di peringkat suku akhir ACLE.
Suku akhir ACLE menyaksikan empat pasukan Zon Timur akan berentap dengan empat pasukan Zon Barat. JDT antara empat pasukan yang membawa cabaran Zon Timur.
JDT berpeluang menentang pasukan-pasukan hebat Asia Barat termasuk pasukan gergasi Arab Saudi, Al-Hilal dan juara bertahan, Al-Ahli.
Norshahrul yang mesra disapa Matyo melihat pasukan-pasukan ini sebagai cabaran baharu yang perlu dilepasi JDT jika ingin melakar sejarah baharu di Asia.
Ini kerana pasukan-pasukan Timur Tengah cukup dikenali sebagai jaguh Asia sejak sekian lama. Ini termasuk bergelar juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan ACLE.
“Kita kalau nak jadi pasukan terbaik di Asia, kita kena lawan pasukan terbaiklah. Ini salah satu cabaran baharu buat pasukan JDT bertemu dengan pasukan-pasukan dari Timur Tengah.
“Pasukan-pasukan Timur Tengah memang jaguh Asia sekarang ini. Jadi, ini satu cabaran dan sejarah baru buat JDT melawan pasukan-pasukan dari Zon Barat,” katanya semasa menjadi panel rancangan Astro Arena, XI Sebelas Utama.
Selain JDT, Buriram United, Machida Zelvia dan Vissel Kobe juga membawa cabaran Zon Timur dalam pusingan suku akhir ACLE.