Seorang pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendakwa gol kedua Al-Ahli ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) tidak sah.
Dakwaan ini dibuat bekas pengadil FIFA dari Arab Saudi, Saad Al-Kathiri bila diminta mengulas tentang gol berkenaan.
Saad menyifatkan gol tersebut tidak sepatutnya dikira oleh pengadil Jordan, Adham Makhadmeh. Ini kerana pemain Al-Ahli telah melakukan kekasaran ke atas pemain JDT sebelum gol itu berlaku.
Saad berpandangan pegawai VAR dalam perlawanan itu, Shaun Evans sepatutnya memberitahu Adham agar merujuk insiden itu di monitor dan membatalkan gol tersebut.
“Pengesahan gol kedua Al-Ahli pada minit ke-56 adalah keputusan yang salah oleh pengadil. Terdapat kekasaran ke atas pemain Al-Ahli yang membuat terjahan melulu ke atas kaki pemain Johor sebelum menjaringkan gol.
“Pegawai VAR sepatutnya memanggil pengadil untuk menyemak semula insiden tersebut dan membatalkan gol tersebut,” katanya seperti dilaporkan Al-Jazirah.
Al-Ahli mara ke separuh akhir dengan menewaskan JDT 2-1. Meskipun beraksi dengan 10 pemain selepas Ali Majrashi dibuang padang, itu bukan halangan buat juara bertahan ACLE itu mara.
Anak buah Matthias Jaissle akan turun menentang Vissel Kobe di peringkat separuh akhir. Kobe mara dengan menyingkirkan Al-Sadd menerusi penentuan sepakan penalti.