ACLE: Penyokong Vissel Kobe Hargai Sokongan Peminat JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Seorang penyokong Vissel Kobe menyatakan penghargaan kepada kumpulan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana tampil menyokong pasukan itu.

Penghargaan itu dizahirkan seorang penyokong bernama Takuya Manabe selepas melihat kelibat mereka dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Kobe dan Al-Sadd.

“Terima kasih! Maaf, saya menangis! Terima kasih kepada penyokong-penyokong Johor juga!” katanya di X.

Video kehadiran mereka dalam perlawanan itu turut dikongsikan Manabe dalam hantaran sama.

Penyokong JDT kemudiannya melaungkan ucapan terima kasih dan nama pasukan itu sebelum meninggalkan stadium.

Kobe mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan menyingkirkan Al-Sadd menerusi penentuan sepakan penalti. Sebelum itu, mereka terikat 3-3 selepas 120 minit permainan.

Rafa Mujica dan bekas bintang Liverpool, Roberto Firmino menyumbat gol buat Al-Sadd. Yuya Osako, Yosuke Ideguchi dan Yoshinori Muto masing-masing mencetak gol buat Kobe.

Kegagalan Claudinho menyempurnakan penalti sudah cukup untuk membantu Kobe mengatasi Al-Sadd dengan keputusan 5-4.

Mereka kini menanti sama ada juara bertahan, Al-Ahli atau Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai lawan di peringkat separuh akhir.

Seandainya JDT mara, ini dilihat peluang buat Kobe membalas dendam terhadap juara Liga Super itu. Ini selepas JDT menewaskan Kobe 1-0 dalam aksi peringkat Liga Timur ACLE.