Advertisement
ACLE: Shanghai Port Catat Kemenangan Pertama Atasi Central Coast
Asia
MakanBola
Shanghai Port FC

Shanghai Port berjaya menewaskan wakil Australia, Central Coast dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) hari ini.

Shanghai menurukan barisan terkuat dalam usaha memburu kemenangan selepas dua aksi terdahulu mencatat keputusan seri berdepan Johor Darul Ta’zim dan tewas kepada Pohang Steelers.

Aksi di separuh masa pertama menyaksikan pasukan tuan rumah Shanghai mendahului dengan dua jaringan. Gol pembukaan perlawanan hadir menerusi pemain pertahanan, Ang Li seawal minit kedua permainan.

Pada minit ke-41 permainan, penyerang sensasi China Wu Lei melebarkan kedudukan untuk jaringan kedua Shanghai sekaligus memberi kelebihan buat pasukan tuan rumah di babak pertama.

Bersambung aksi di babak kedua, pasukan pelawat Central Coast bermula dengan jaringan menerusi Mikael Doka pada minit ke-61 permainan.

Harapan Central Coast untuk menyamakan kedudukan musnah selepas pemain import dari Argentina, Matias Vargas menjaringkan gol ketiga buat Shanghai Port sekaligus menutup aksi di Stadium Bolasepak Pudong.

Keputusan penuh, Shanghai Port mencatat kemenangan bergaya menewaskan Central Coast dengan keputusan 3-1.

Shanghai kini berada di kedudukan ketiga dengan empat mata sementara Central Coast berada di kedudukan kesebelas tanpa sebarang mata.