ACLE: Xisco Munoz Mahu JDT Kekal Fokus
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mahu anak buahnya kekal fokus meskipun memiliki kelebihan dua gol untuk aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Hal ini dinyatakan beliau selepas JDT menewaskan kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima dalam aksi pertama pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Ager Aketxe, Bergson da Silva dan Marcos Guilherme masing-masing mencetak nama sebagai penjaring. Sanfrecce meraih gol saguhati menerusi gol sendiri Rui Nene.

Pelawat juga turut beraksi dengan 10 pemain. Ini selepas pengadil Australia, Shaun Evans melayangkan kad kuning kedua kepada pemain pertahanan Korea Selatan, Kim Ju-sung.

Meskipun memiliki kelebihan dua gol, Munoz bersikap realistik dan tidak mahu terlalu yakin. Ini kerana apa saja boleh berlaku dalam aksi timbal balik di Hiroshima.

Atas sebab itu, bekas jurulatih Watford itu mahu anak buahnya mengekalkan fokus sama dalam aksi timbal balik.

“Sudah tentu jika kita bermain permainan jangka panjang, mungkin kita akan lebih menyerang, melakukan peralihan penting dan sebagainya.

“Saya pasti mungkin tetapi penting juga kita tidak terlalu yakin untuk perkara seperti itu. Kita kena fokus 100% dan terus berjuang, itu yang kita perlu lakukan sekarang,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Aksi timbal balik pusingan 16 ACLE akan berlangsung di Hiroshima pada 11 Mac ini. Jika kelebihan ini berjaya dipertahankan, JDT bakal mencipta sejarah mara ke peringkat suku akhir.