Malaysia dirundung kekalahan dalam Asian Champions Trophy (ACT) 2024 apabila dibelasah India 8-1 di Pusat Latihan Moqi, Hulunbuir, China.
Selepas tewas 4-2 kepada China dalam aksi kedua ACT, anak buah Sarjit Singh berdepan ujian lebih getir dengan India.
Gawang The Speedy Tigers bocor seawal minit ketiga menerusi Raj Kumar Pal. Araijeet Singh Hundal dan Jugraj Singh masing-masing menyumbang gol pada minit keenam dan ketujuh bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Gawang Malaysia yang dikawal Zaimi Mat Deris bocor lagi buat kali keempat apabila Harmanpreet Singh menyumbat gol pada minit ke-22.
Raj Kumar memastikan India memiliki kelebihan selesa 5-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-25.
Bersambung selepas rehat, Men in Blue yang dibimbing Craig Fulton terus meningkatkan tekanan ke atas barisan pertahanan The Speedy Tigers diketuai kapten, Marhan Abd Jalil.
Raj Kumar mencipta hatrik dengan menyumbat gol pada minit ke-33. Akhimullah Anuar Esook merapatkan jurang buat skuad negara dengan gol pada minit ke-34.
Araijeet dan Uttam Singh masing-masing memastikan India meraih kemenangan 8-1 dengan gol pada minit ke-39 dan 40. Keputusan 8-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia berada di tangga tercorot ACT dengan satu mata selepas tiga perlawanan. Manakala India menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir ACT.
Selepas ini, The Speedy Tigers bakal menentang Jepun pada 12 September. Sementara Men in Blue pula bakal berdepan pasukan gergasi Asia, Korea Selatan.