Ada cubaan yang sedang dilakukan untuk menukar CEO KL City tanpa keperluan ketika ini.
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad memaklumkan bahawa terdapat usaha untuk menukar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City.
Beliau ketika ditemui di sebuah tempat di Kuala Lumpur hari ini memaklumkan bahawa terdapat campur tangan dalam pasukan The City Boys untuk menyingkirkan watak tertentu dalam pasukan.
“Ada cubaan untuk menukar Stanley (CEO KL City), sebab apa? Sebab beliau melakukan kerja dengan baik. Ada juga yang nak menukar Setiausaha Agung.
“Sebelum ini kita berjaya mengecapi pelbagai kejayaan kerana tiada campur tangan politik dalam pasukan. Akan tetapi tahun ini, kita lihat perkara itu malangnya datang semula,” jelasnya.
Beliau melihat ramai yang berminat untuk menjadi pengerusi dan CEO selepas The City Boys mengecapi pelbagai kejayaan.
“Kenapa pendapatan yang diperolehi daripada KL itu tak boleh disumbangkan kepada satu-satunya kelab di KL. Kalau tak boleh, kita nak pergi kepada siapa?
“Apabila pasukan KL City tak dapat gaji, tak ada kesungguhan untuk membantu tetapi apa yang berlaku ialah politiking untuk jatuhkan pengerusi, setiausaha, CEO dan sebagainya.
Khalid Samad juga memaklumkan bahawa pemain KL City masih tidak menerima bayaran tunggakan gaji sungguhpun selepas menewaskan Selangor pada 14 Julai 2024.
Sebagai rekod, Stanley Bernard telah pun bergelar CEO KL City sejak tahun 2020 dan telah membantu pasukan Lembah Klang itu melangkah ke tiga final dalam tempoh tiga tahun.