Masa depan perancang tengah Selangor FC, Brendan Gan terus menjadi tanda tanya selepas desas-desus mengaitkan kepulangannya ke Liga Australia (A-League) hangat diperkatakan.
Pemain berusia 36 tahun itu rancak beraksi buat Harimau Malaya dan menjadi tunjang utama pasukan ketika mengikat jaguh Asia, Korea Selatan tempoh hari.
Masa depannya bagaimanapun masih belum diputusan selain beberapa khabar mengaitkan beliau untuk meninggalkan The Red Giants.
Menerusi temubual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Brendan memberi bayangan bahawa belum memutuskan masa depannya.
“Ya, pada masa ini saya tak tahu. Saya masih fokus dengan Piala Asia. Perkara itu (masa depan) akan difikirkan selepas Piala Asia.”
“Saya cuma fokus untuk beraksi cemerlang jika diberi peluang. Jadi, selepas tamat kempen Piala Asia, barulah minda saya boleh memikirkan tentang masa depan.”
Perkongsian terbaru oleh Zulhelmi di Nadi Arena memberi kemungkinan perpindahan jeneral tengah negara ke Australia masih lagi terbuka.
“Ada kemungkinan walaupun usianya sudah mencecah 36 tahun tetapi Brendan tetap Brendan. Kalendar perpindahan A-League sudah dibuka pada 7 Januari 2024 dan berakhir 7 Februari 2024.”
“Liga Australia sangat kompetitif, melihat kepada situasi ini, mungkin beliau (Brendan) balik kampung, kitabtidak tahu sama ada beliau ditawarkan kontrak di sana atau tidak tetapi beliau masih relevan beraksi di mana sahaja,” ujar Zulhelmi.