Adam Hamid Jalani Percubaan Bersama KL City

Instagram @itsadamhamid Adam Hamid Jalani Percubaan Bersama KL City
@itsadamhamid
Azim Noor @mohdazim45
1:20pm 03/07/2023

Sebut saja nama Adam Hamid, ramai mengingatinya sebagai bek kiri muda yang beraksi di liga Serbia dan Bosnia-Herzegovina. Tetapi baru-baru ini, bek kiri berusia 21 tahun itu kini sedang menjalani sesi percubaan bersama pasukan Liga Super, KL City FC.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Adam menerusi satu perkongsian di akaun Instagram peribadinya semalam. Ini selepas seorang pengikutnya bertanya sama ada beliau menjalani sesi percubaan dengan pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.

Malah, sesi percubaan Adam turut dikongsikan oleh pemilik akaun Twitter, Harimau Abroad dan Supporter of Kuala Lumpur United semalam.

Sekiranya semua berjalan lancar, tidak mustahil Adam akan menjadi rekrut pertama KL City FC untuk tetingkap perpindahan kedua yang bermula pada 5 Julai ini.

Bagaimanapun, ramai ingin tahu sama ada City Boys mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk merealisasikan perpindahan tersebut. Hal ini menggusarkan jurulatih mereka, Bojan Hodak yang berharap dapat memperkuat pasukan terutama menjelang aksi final Piala FA pada 22 Julai ini.

Di ruang komen, ramai peminat bola sepak mengucapkan selamat berjaya kepada Adam dan berharap beliau dapat meraih kontrak bersama KL City FC.

Sebelum ini, Adam pernah beraksi untuk pasukan gergasi Serbia, Red Star Belgrade dan kelab Bosnia, NK Zvijezda Gradacac.