Pemain pertahanan Sri Pahang, Adam Nor Azlin mengakui teruja dapat kembali bermain di Liga Super dan menjaringkan gol pertama beliau untuk Sri Pahang.
Jaringan menerusi tandukan Adam Nor Azlin pada minit ke-63 menjadi titik kebangkitan skuad Tok Gajah untuk mengikat pasukan Kuching City di Stadium Negeri.
Pemain berusia 28 tahun itu berpendapat kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih serta kerjasama yang hebat daripada rakan sepasukan telah meningkatkan motivasi dirinya serta pasukan untuk bangkit meraih 2 gol pada babak kedua perlawanan.
“Pertama sekali syukur Alhamdulillah kita dapat bangkit pada babak kedua kerana kita bermain sebagai satu pasukan.
“Pada separuh masa pertama kita kaji balik kelemahan dan kita perbaiki pada babak kedua. Alhamdulillah kita dapat bangkit untuk menyamakan kedudukan.
“Syukur setelah sekian lama saya tidak beraksi di Liga Super dan atas kepercayaan jurulatih dan kerjasama daripada rakan-rakan, bukan saya tetapi pasukan dapat jaringkan gol pertama.
“Itu pembakar semangat pasukan kami dan setelah beberapa minit kami dapat menyamakan kedudukan.” jelas Adam Nor Azlin setelah tamat perlawanan.
Sri Pahang berkongsi satu mata dengan Kuching City hasil jaringan daripada Adam Nor Azlin dan juga Manuel Hidalgo. Pahang seterusnya akan turun menentang Penang dalam aksi pusingan 16 Piala FA pada 14 Jun ini.
Adam Nor Azlin menyertai Sri Pahang pada awal musim 2024/2025 setelah bermain untuk pasukan JDT selama 6 tahun.