Pertahanan Harimau Malaya, Adib Ra’op teruja untuk berkongsi keunikan taktikal yang diterapkan oleh Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon.
Pemain berusia 25 tahun itu mendapat panggilan pertama di bawah kendalian jurulatih kelahiran Korea Selatan itu.
Beliau berkongsi rasa teruja dan syukur dengan kedua ibu bapanya turut bangga dengan pencapaian tonggak Penang FC tersebut.
Katanya, beliau kini dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan falsafah yang mahu diterapkan oleh Pan-gon.
“Saya sedang melalui latihan berintensiti tinggi seperti yang dikongsikan oleh Sikh Izhan dan juga Syamer Kutty. Alhamdulillah saya dapat menyesuaikan diri dengan cepat.
Adib mahu terus membuktikan kemampuan beliau kepada Pan-gon agar dapat beraksi buat kali pertama.
“Itu semestinya atas usaha saya sendiri. Saya perlu buktikan kepada Pan-gon yang saya juga layak beraksi dan berusaha lebih berbanding pemain lain,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM.
Bekas pemain Perak FC ini juga mengakui pendekatan bersama pasukan kebangsaan berbeza dengan di kelab ketika ini.
“Taktikal di sini berbeza dengan kelab. Saya boleh menyesuaikan diri dan cepat faham. Pan-gon ada memanggil saya secara sendiri dan bertanya tentang perkembangan saya sama ada faham atau tidak, jadi itu memudahkan saya,” ujarnya.
Harimau Malaya akan beraksi bagi perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada 6 Jun 2024 (Khamis) di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek.
Perlawanan keenam pula berdepan Chinese Taipei dan skuad negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.