Advertisement
Adisak Kraisorn Tinggalkan Terengganu, Sertai Bangkok United
Transfer
MakanBola
Terengganu FC

Tidak lama selepas dilepaskan Terengganu FC, penyerang Thailand, Adisak Kraisorn kini sudah mendapat kelab baru.

Hari ini, Adisak sah menyertai pendahulu Thai League 1 musim 2023-2024, Bangkok United. Pengumuman perpindahan beliau dibuat The Angels di laman media sosial rasmi mereka.

“True Bangkok United telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan penyerang Thailand berusia 32 tahun, Adisak Kraisorn dari Terengganu FC bagi memperkuatkan pasukan untuk pusingan kedua Thai League 1.

“Adisak Kraisorn, seorang penyerang berpengalaman, sudah memenangi banyak trofi di Thailand termasuk empat gelaran juara Thai League 1.

“Beliau pernah bersama Buriram United, BEC Tero Sasana, Port FC, Muangthong United dan terbaru, mencari cabaran baru di liga antarabangsa pertama dengan pasukan Liga Super, Terengganu FC sebelum menyertai True Bangkok United untuk pusingan kedua musim 2023-2024,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Perpindahan ini menyatukan semula Adisak dengan jurulatih lamanya di Muangthong United, Tochtawan Sripan. Di bawah bimbingan beliau, penyerang Thailand itu meledakkan 31 gol dalam 98 penampilan.

Adisak dijangka memainkan peranan sebagai pemain sokongan di bahagian serangan. Ini kerana selain kempen di peringkat domestik, Bangkok United juga masih bersaing dalam pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Selain beliau, Bangkok United turut memiliki Willen Mota, Amadou Soukouna dan Chayawat Srinawong sebagai peledak berbisa mereka.

Walaupun hanya bersama Terengganu selama semusim, Adisak merekodkan 24 penampilan dalam semua kejohanan termasuk Piala AFC dan menjaringkan empat gol.