Menjelang aksi hangat Malaysia berdepan Jordan, mari kita lihat antara pemain yang dijangka mencuri tumpuan pada perlawanan tersebut.
Pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman sudah tentunya antara nama yang bakal diberi peranan penting bagi merobek gawang Jordan.
Bakat pemain berusia 21 tahun itu sudah terbukti dengan statistik yang cukup cemerlang bersama skuad kebangsaan – 6 jaringan dan 5 bantuan jaringan sepanjang 9 penampilan pada tahun 2023.
Tambahan pula, AFC juga mengangkat nama Arif sebagai antara bintang muda mencuri tumpuan dalam edisi kali ini sebaris pemain bintang yang lain seperti Lee Kang-in, Takefuso Kubo dan lain-lain.
Selain itu, penjaga gol Malaysia, Syihan Hazmi bakal memainkan tugas yang besar untuk mengawal benteng terakhir pasukan negara.
Aksi tangkas Syihan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad kebangsaan wajar diberi pujian dan kelibat beliau sering menjadi penyelamat pasukan di saat-saat genting.
Khidmat penjaga gol berusia 28 tahun itu sudah pastinya ditagih Kim Pan-gon bagi memastikan gawang negara tidak dibocori jentera serangan Jordan.
Bagi Jordan, pemain yang seharusnya diberi perhatian sudah semestinya pemain sayap lincah yang kini bermain di Ligue 1 iaitu Musa Al-Taamari
Kelincahan pemain Montpellier yang sering bergerak bebas di sebelah kiri dan kanan ini pastinya bakal memberikan tugas sukar kepada benteng pertahanan negara yang diketuai Matt Davies.
Dengan aksi konsisten dan rekod cemerlang, beliau juga menerima pengiktirafan oleh pihak AFC sebagai pemain Jordan yang perlu diberi perhatian di pentas Piala Asia kali ini.
Pemain terakhir yang bakal meraih perhatian ramai pada pertembungan ini pastinya pemain tengah Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh.
Pengalaman beliau bermain bersama beberapa pemain negara di Liga Malaysia sudah tentu bakal membantu skuad bimbingan Hussein Ammouta ini untuk menjadi duri dalam daging buat pasukan.
Pemain berusia 26 tahun ini bakal mengemudi jentera tengah Jordan dan bakal bertemu rakan sepasukannya di Selangor seperti Brendan Gan, Faisal Halim dan Khuzaimi Piee.
Aksi sengit skuad Malaysia dan Jordan bakal berlangsung di Stadium Al Janoub pada 16 Januari jam 1.30 pagi waktu tempatan.