Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi bayangan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya ke CAS berpotensi berakhir dengan keputusan positif.
Hal ini dinyatakan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John semasa menjadi tetamu XI Sebelas Utama baru-baru ini.
Potensi keputusan positif itu timbul kerana CAS meluluskan permohonan penangguhan hukuman penggantungan 12 bulan yang dihadapi tujuh pemain tersebut.
Windsor memaklumkan ini kali pertama sepanjang beliau bergelar Setiausaha Agung AFC sejak 2015, CAS meluluskan pemohonan tersebut.
Ini kerana menurut beliau, bukan mudah buat CAS membenarkan permohonan tersebut kerana ia perlu memenuhi had yang ditetapkan mahkamah berkenaan.
“Mereka minta perintah penangguhan dan CAS bagi penangguhan. Ini susah sebab had (yang ditetapkan CAS) sangat tinggi.
“Jadi ada peluang 50-50 untuk menang. Sebab pengalaman kita di AFC, semua kes yang AFC buat keputusan, sesiapa yang bawa (kes) ke CAS dan minta perintah penangguhan, semua kalah.
“Mereka tak pernah dapat. Tak pernah dapat dalam sejarah AFC selama saya jadi Setiausaha Agung daripada 2015. Tak pernah ada satu kes pun di mana yang tertuduh itu mendapat penangguhan,” katanya.
Meskipun begitu, Windsor mengingatkan bahawa FIFA masih belum membuat hujahan berhubung kes tujuh pemain negara. Ini kerana CAS baru mendengar hujahan daripada pihak pemain.
Justeru, keputusan pada 26 Februari dilihat penentu sama ada kes tersebut memihak kepada mereka atau sebaliknya. Ini kerana pada tarikh itu, CAS akan menimbang hujah yang dikemukakan kedua-dua pihak.