Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenakan denda sebanyak AS$6,125 (RM24,000) ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT).
Hukuman itu diputuskan Jawatankuasa Etika dan Disiplin AFC susulan enam kad kuning yang dikutip JDT dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Sanfrecce Hiroshima pada 10 Februari lalu.
Aksi peringkat Liga Timur ACLE itu menyaksikan pengadil China, Ma Ning melayangkan kad kuning kepada beberapa pemain dan staf kejurulatihan Harimau Selatan.
Aksi sama turut menyaksikan Jonathan Silva terpaksa meninggalkan padang pada separuh masa pertama akibat kad merah. Ini selepas beliau dikesan sengaja menampan bola dengan tangan.
Aksi itu menyaksikan Sanfrecce meraih kemenangan 2-1. JDT kemudiannya membalas dendam dengan menyingkirkan lawan sama dalam pusingan 16 ACLE pada Mac lalu.
Ini kali keempat JDT dihukum kerana isu kad kuning. Walau bagaimanapun, Harimau Selatan bukan satu-satunya pasukan yang dihukum AFC kerana isu tersebut.
Kelab gergasi Thailand, Buriram United turut menerima nasib sama kerana mengutip enam kad kuning ketika menentang Chengdu Rongcheng.
Buriram dikenakan denda sebanyak AS$3,000 (RM12,000) oleh AFC. Ini kali pertama Thunder Castle dikenakan tindakan disiplin atas kesalahan tersebut.
Kesemua keputusan ini diumumkan Jawatankuasa Etika dan Disiplin AFC pada 18 Mac lalu.