Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John mendedahkan sebab badan induk itu menunggu keputusan CAS berhubung rayuan FAM dan tujuh pemain warisan negara.
Windsor memaklumkan langkah itu diambil bagi memastikan AFC menentukan pasukan akhir yang layak ke Piala Asia 2027.
Ini kerana mereka tidak mahu disebabkan isu rayuan CAS, ini akan merumitkan AFC mengendalikan cabutan undi Piala Asia 2027 yang akan diadakan pada 11 April ini.
“Undian AFC untuk persiangan Piala Asia bakal berlangsung 11 April di Arab Saudi dan memulakan persediaan awal merujuk kepada aspek-aspek tertentu.
“Jadi untuk persiapan itu, kita harus mengetahui manakah pasukan yang akan menjadi juara kumpulan supaya nama mereka boleh dimasukkan ke dalam balang undian.
“Sebab kita tidak mahu mengadakan undian dengan pasukan lain dan tiba-tiba ada satu keputusan daripada CAS yang kita perlu tukar selepas undian,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Malaysia ketika ini mengetuai Kumpulan F dengan 15 mata. Vietnam mengekori Harimau Malaya di tempat kedua dengan 12 mata.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu di Vietnam pada Mac ini bagi menentukan pasukan mana yang layak. Rayuan CAS berhubung kes FAM dan tujuh pemain negara bakal diketahui sebelum perlawanan itu.