Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sah menghukum kelab Vietnam, Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) selepas kelab itu menurunkan dua pemain yang tidak layak untuk aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Dua pemain berkenaan, Stefan Mauk dan China beraksi dalam aksi pertama pusingan 16 ACL2 menentang Tampines Rovers pada 11 Februari lalu.
Aksi tersebut berkesudahan dengan kemenangan 4-0 buat CAHN. Nguyen Quang Hai, Nguyen Dinh Bac dan China masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Meskipun begitu, pemain Brazil itu dan Mauk tidak sepatutnya diturunkan dalam aksi berkenaan. Ini kerana kedua-duanya perlu menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning di peringkat kumpulan.
Susulan itu, AFC menganugerahkan kemenangan 3-0 kepada The Stags. Ini menyaksikan Tampines Rovers memiliki kelebihan agregat 3-0 dalam aksi kedua pusingan 16.
Selain itu, CAHN juga dikenakan denda AS$2,000 (RM7,800). CAHN juga hanya akan mendapat separuh daripada yuran penyertaan mereka dalam ACL2 berjumlah AS$80,000 (RM312,000).
Jurulatih CAHN, Mano Polking sekurang-kurangnya boleh menghela nafas lega kerana Mauk dan China dibenarkan beraksi dalam aksi kedua pusingan 16.
Ini kerana Jawatankuasa Tatatertib AFC berpandangan kedua-dua pemain telah menjalani penggantungan perlawanan pada 11 Februari lalu. Keputusan itu dibuat mengikut Artikel 14.6 Kod Etika dan Disiplin AFC.
Keputusan Jawatankuasa Tatatertib AFC berhubung CAHN diumumkan di laman sesawang badan induk Asia itu pada Selasa.