CAHN Bakal Dihukum AFC?
MakanBola
Cong An Ha Noi FC

Kelab Vietnam, Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) berpotensi dikenakan hukuman oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

ASEAN Football melaporkan potensi itu timbul selepas CAHN dikesan menurunkan dua pemain yang tidak sepatutnya bermain dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Tampines Rovers.

Mengikut data perlawanan, dua tonggak CAHN, Stefan Mauk dan China sepatutnya menjalani penggantungan satu perlawanan.

Ini selepas kedua-dua tonggak import itu mengutip tiga kad kuning di peringkat kumpulan. Walau bagaimanapun, CAHN menurunkan dua pemain tersebut dalam aksi menentang The Stags.

CAHN merekodkan kemenangan 4-0 ke atas Tampines Rovers. Nguyen Quang Hai, China dan Nguyen Dinh Bac masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Seandainya CAHN didapati bersalah oleh AFC, Tampines Rovers berpotensi meraih kemenangan percuma 3-0. Ini bermakna kelebihan agregat 4-0 yang dimiliki anak buah Mano Polking sebelum ini hilang.

AFC dijangka membuat keputusan berhubung perkara ini sebelum aksi timbal balik di Singapura pada 18 Februari ini.

Jika hal ini berlaku, tuah sekali lagi memihak kepada kelab Singapura. Musim lalu menyaksikan Lion City Sailors (LCS) turut meraih kemenangan percuma 3-0.

Ini selepas kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima dikesan menurunkan Valere Germain dalam aksi itu. Germain tidak sepatutnya diturunkan kerana perlu menjalani penggantungan perlawanan.

Kemenangan itu menjadi pencetus LCS untuk mara sehingga ke peringkat final ACL2 musim 2024/25.