Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjangkakan kes tujuh pemain warisan Malaysia masih belum selesai.
Pandangan itu dibuat Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John apabila ditanya sama ada kes membabitkan tujuh pemain tersebut sudah selesai atau sebaliknya.
Windsor berpandangan meskipun Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah membuat keputusan terhadap rayuan tujuh pemain itu, Persekutuan Bola Sepak Antarbangsa (FIFA) dijangka melancarkan siasatan baru.
Ini kerana dalang isu pemalsuan dokumen tujuh pemain tersebut masih belum dikenal pasti. Hal ini turut disebut dalam sebab Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan mereka pada Oktober 2025.
Windsor menjangkakan aspek itu berpotensi menjadi fokus siasatan baharu FIFA untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
“FIFA mempunyai kuasa untuk menyiasat individu-individu yang mungkin terlibat. Contohnya, ejen atau pegawai-pegawai lain, mereka mempunyai kuasa,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
“Jadi, kalau saya nak kata kes ini sudah selesai, mungkin sudah selesai. Mungkin juga tidak kerana FIFA mempunyai kuasa, tidak seperti AFC.
“Kita buat ini mengikut fasa. Pertama, yang paling penting pemain dan persatuan. Dan kalau kita lihat sebab keputusan (Jawatankuasa Rayuan FIFA), FIFA juga sebut pasal dua ejen. Mungkin siasatan masih lagi sedang berjalan, kita pun tak tahu.”
Windsor turut menjangkakan pendedahan baru bakal berlaku jika FIFA melancarkan siasatan baharu. Ini bertujuan mengenal pasti pihak yang terlibat dalam isu tersebut sama ada secara rasmi atau sebaliknya.
Selepas CAS membuat keputusan terhadap rayuan tujuh pemain, kes mereka dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin AFC.