Kenyataan AFC Berkait Keputusan CAS Kes 7 Pemain Harimau Malaya
MakanBola
AFC/MNT

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memuat naik kenyataan ringkas susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berkait isu 7 pemain Harimau Malaya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengumuman keputusan penuh daripada CAS menyaksikan hukuman berat yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Malaysia sebahagian besarnya dikekalkan.

“Panel CAS memutuskan bahawa ketujuh-tujuh pemain itu dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun hukuman itu hanya melibatkan penyertaan dalam perlawanan rasmi dan tidak merangkumi semua aktiviti berkaitan bola sepak.”

“Dalam masa sama, rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditolak, sekali gus mengekalkan keputusan FIFA untuk mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 Juta) terhadap badan induk bola sepak negara itu.”

Sebaik keputusan ini diumumkan, AFC menerusi kenyataan rasmi memberitahu telah mengambil maklum hal tersebut dan menyerahkan isu ini ke Jawatankuasa Tatatertib dan Etika.

“AFC mengambil maklum mengenai keputusan yang dibuat oleh CAS pada 5 Mac 2026 melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta beberapa pemain berkait pelanggaran Kod Tatatertib FIFA.”

“Perkara ini kini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC,” umum badan induk bola sepak Asia itu.

“AFC tidak akan memberikan sebarang komen terhadap siasatan dan/atau prosiding yang sedang berlangsung oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC.”

Kini, nasib Harimau Malaya bakal bergantung sepenuhnya kepada keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC lebih-lebih membabitkan perjuangan di pentas Kelayakan Piala Asia 2027.

Claim Money Packet TnG