Nama bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio kembali menjadi sebutan di Asia.
Ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memuat naik satu hantaran yang mengenang pencapaian beliau bersama Harimau Selatan.
“Ucapan terima kasih yang terakhir kepada Bidoglio atas semua memori dan trofi yang dimenangi. JDT kini memasuki babak baru,” katanya.
Sepanjang bersama JDT, Bidoglio membantu pasukan itu meraih tujuh trofi termasuk Liga Super dan Piala Malaysia.
Harimau Selatan kemudiannya mengumumkan khidmat jurulatih Venezuela itu tidak dikekalkan untuk musim 2025/26. Susulan itu, bekas jurulatih Watford, Xisco Munoz dibawa masuk sebagai pengganti.
JDT kini sibuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kempen musim hadapan. Antara nama yang dibawa masuk ialah Ibrahim Manusi, Jairo da Silva dan Moussa Sidibe.
Harimau Selatan juga mengumumkan pelan pra-musim mereka di Sepanyol. Dua pasukan yang sah akan berdepan JDT ialah Levante dan Cardiff City.