JDT Lawan Cardiff City Di Sepanyol
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal turun berentap menentang kelab Wales, Cardiff City dalam aksi pra-musim di Sepanyol.

Pengumuman mengujakan ini dibuat di laman media sosial rasmi Johor Southern Tigers yang menyaksikan JDT bakal berdepan pasukan dari EFL Championship itu pada 9 Julai hadapan.

”JDT akan berdepan kelab dari Wales, Cardiff City FC, dalam kem pra-musim Harimau Selatan di Sepanyol bermula dari 3 hingga 22 Julai,” umum juara Liga Super itu.

Cardiff City yang dimiliki oleh usahawan dari Malaysia iaitu Tan Sri Vincent Tan telah menamatkan musim lalu di tangga tercorot EFL Championship dengan hanya meraih 44 mata.

Manakala, JDT pula beraksi cemerlang di peringkat domestik dan Asia pula menamatkan musim dengan 4 kejuaraan untuk membuatkan pertemuan di Pinatar Arena, Murcia ini semakin menarik.

Menurut makluman dari pihak kelab Cardiff City, perlawanan ini akan dibuka buat tontonan umum dengan maklumat lebih lanjut tentang harga dan cara pembelian tiket akan menyusul

Terdahulu, pasukan Harimau Selatan itu mengumumkan aksi persahabatan menentang Levante UD semasa kem tersebut, dan beberapa lagi perlawanan bakal diumumkan dari semasa ke semasa.