Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sah akan turun beraksi menentang kelab Sepanyol, Levante.
Perlawanan persahabatan antarabangsa ini diumumkan oleh pihak pengurusan JDT di media sosial dengan Levante yang baru sahaja muncul juara Divisyen 2 Sepanyol bakal menjadi lawan mereka.
“JDT akan bertemu Levante UD dari LaLiga dalam kem pra-musim di Sepanyol,” umum juara Liga Super 11 kali itu.
Malah, beberapa perlawanan lagi sudah diatur oleh JDT dan akan diumumkan dari semasa ke semasa di sepanjang kem pra-musim skuad Harimau Selatan ini dari 3 hingga 22 Julai nanti.
Levante merupakan pasukan juara Liga Divisyen 2 Sepanyol musim lalu yang menyaksikan skuad kendalian Julian Calero akan kembali beraksi di pentas LaLiga pada musim hadapan.
Malah, aksi ini juga bakal menjadi ujian awal buat pengendali baharu JDT, Xisco Munoz yang baru dilantik dua minggu lalu bagi menggantikan tempat ditinggalkan jurulatih sebelum ini, Hector Bidoglio.