Selepas Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC muncul pasukan kedua terbaik dari Malaysia menerusi Ranking MA Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).
Ini kerana pasukan gergasi Lembah Klang itu menyumbang hampir 13% mata untuk saingan di peringkat Asia. Ini hasil penyertaan Selangor dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Selangor layak ke ACL2 pada musim 2024/25 dan 2025/26 dengan status sebagai naib juara Liga Super musim 2023 dan 2024/25.
Ini kerana slot tempat kedua liga menawarkan slot kelayakan secara automatik ke saingan peringkat kumpulan ACL2.
Hal ini turut dibantu dengan prestasi cemerlang JDT di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) sejak beberapa musim.
Prestasi cemerlang Harimau Selatan memastikan Malaysia memiliki satu slot kelayakan automatik ke saingan ACLE dan ACL2 .
Semakan semasa Ranking MA AFC di Footy Rankings menyaksikan Malaysia di tangga ke-11 di Asia dengan 40.039 mata (keenam di Asia Timur).
JDT menyumbang mata terbanyak dengan 28.01 mata atau 69.9%. Ini disusuli dengan Selangor dengan penyumbang mata kedua terbanyak iaitu 4.73 mata atau 11.8%.
Kuala Lumpur City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Kedah dan Felda United masing-masing menyumbang 6.2%, 4%, 3.2%, 2.5% dan 0.8%.
Kemas kini ranking Opta Analyst menyaksikan Selangor kini menduduki tangga ke-142 Asia dengan markah 66.5 mata.

Selangor mengatasi beberapa kelab hebat seperti Beijing Guoan, BG Pathum United dan Brisbane Roar.
Selepas tersingkir di peringkat kumpulan ACL2, Selangor bukan saja fokus memburu slot kelayakan kejohanan itu dalam Liga Super.
Malah, anak buah Kim Pan-gon juga fokus menghadapi separuh akhir Shopee Cup. Juara Piala Malaysia 33 kali itu dijadual bertemu Thep Xanh Nam Dinh FC pada 6 dan 13 Mei ini.