Pengiraan mata bagi Ranking MA Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menyaksikan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyumbang mata tertinggi kelab Malaysia di Asia.
Pasukan kendalian Xisco Munoz menjadi wakil tunggal Malaysia pada pentas AFC Champions League Elite (ACLE) bagi musim 2025-26 dan memasuki tahun kelima penyertaan sejak kali pertama pada tahun 2019.
Skuad Harimau Selatan menjadi satu-satunya kelab yang menjadi penyumbang mata tertinggi buat kelab Malaysia di Asia. Kemas kini kedudukan oleh Footy Rankings menyaksikan Malaysia di tangga ke-11 di Asia dengan 40.039 mata (ke-6 di Asia Timur).
Daripada jumlah mata terkumpul itu, JDT terus menjadi penyumbang mata tertinggi kelab Malaysia iaitu sebanyak 28.01 mata yang membawa kepada 69.9 peratus mata secara keseluruhan.
JDT juga konsisten menjadi penyumbang mata tertinggi bagi kelab Malaysia yang beraksi di Asia setiap tahun, terutamanya pada tiga edisi terakhir iaitu 2022 (16 mata), 2024 (9 mata) dan tahun 2025 iaitu 28.01 mata setakat ini.
Prestasi cemerlang juara bertahan Liga Super 11 kali berturut-turut ini memberi impak besar terutamanya menjamin slot pasukan dari Malaysia untuk mendapat slot automatik ke ACLE dan ACL2.
Sumbangan mata utama dari pasukan milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di pentas Asia sejak beberapa tahun ini memastikan Malaysia terus mendapat satu slot automatik – masing-masing di ACLE dan ACL2 tahun 2026-27.
Sementara kelab-kelab lain turut menyumbang tambahan mata seperti Selangor (11.8 peratus), Kuala Lumpur City (6.2 peratus), Sabah (4 peratus) dengan tiga lagi kelab Malaysia iaitu Terengganu, Kedah dan Felda United masing-masing menyumbang 3.2, 2.5 dan 0.8 peratus.
Kemas kini ranking Opta Analyst menyaksikan JDT menghuni tangga ke-13 di Asia dengan 77.2 mata sekali gus kekal selaku pasukan nombor satu dari Asia Tenggara.

JDT kini menduduki tangga ketujuh Kumpulan A (Zon Timur) hasil dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan serta bakal mengharungi aksi terakhir menentang Vissel Kobe di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa, 17 Februari 2026.