Aksi Ulangan JDT vs Vissel Kobe Di SSI, Apa Berubah Lepas 6 Tahun?
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi terakhir Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Vissel Kobe dilihat misi hidup mati buat Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini kerana hanya kemenangan yang dapat menjamin kemaraan anak buah Xisco Munoz ke pusingan 16 terbaik ACLE.

Senario ini ditambah dengan kekalahan 2-1 Harimau Selatan di tangan Sanfrecce Hiroshima dalam aksi ketujuh ACLE baru-baru ini.

Rekod lima aksi terakhir menyaksikan JDT dan Kobe menunjukkan prestasi seimbang dengan satu kekalahan daripada lima aksi yang diharungi mereka.

Apa yang menarik, ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak enam tahun lalu. Kali terakhir JDT dan Kobe berentap ialah 12 Februari 2020.

Aksi itu menyaksikan JDT dibelasah juara J-League 1 musim 2024 itu 5-1. Keijiro Ogawa menyumbat hatrik dalam perlawanan itu.

Penyerang Birmingham City, Kyogo Furuhashi dan Douglas masing-masing turut mencetak satu gol. Safawi Rasid menyumbat gol saguhati JDT menerusi penalti pada babak pertama.

Aksi Kobe dan JDT pada ketika itu turut diserikan dengan kehadiran dua bintang veteran Eropah, Andres Iniesta dan Thomas Vermaelen.

Justeru, aksi kali ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dijangka menemukan beberapa wajah yang dikenali kedua-dua pasukan selepas enam tahun tidak bertemu.

Tiga pemain beraksi untuk JDT dalam aksi pada 2020 iaitu Corbin Ong, Afiq Fazail dan Nazmi Faiz Mansor. Syamer Kutty Abba pula tidak beraksi kerana berada di bangku simpanan.

Tiga pemain yang mewakili Kobe dalam aksi sama ialah Daiya Maekawa, Yuta Goke dan Gotoku Sakai.

Meskipun dilabel pasukan pilihan, Kobe dijangka berdepan tugas sukar di SSI. Ini kerana belum ada pasukan yang berjaya mencuri tiga mata di stadium keramat JDT itu.

JDT masih belum tewas di SSI baik di peringkat domestik, saingan Shopee Cup dan ACLE. Hanya Shanghai Port dan Machida Zelvia saja yang berjaya mencuri satu mata di SSI setakat ini.

Harimau Selatan dan Ushi bakal berentap di SSI pada 17 Februari ini. Seandainya menang, JDT bakal mengiringi Kobe ke pusingan seterusnya.

Claim Money Packet TnG