AFC Saran FAM Kembali Urus Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat saranan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk kembali menguruskan skuad Harimau Malaya.

Saranan itu dikongsikan Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany dalam sidang media selepas tamat Kongres Luar Biasa FAM.

Ini sebahagian daripada saranan badan induk bola sepak Asia itu kepada FAM untuk menambah baik setiap aspek badan induk itu.

“Saya ingin menambah satu lagi perkara tentang skuad kebangsaan. Kita (AFC) menyarankan FAM sepatutnya bertanggungjawab (menguruskan) skuad kebangsaan,” katanya.

Saranan ini dilihat signifikan kerana skuad Harimau Malaya diuruskan oleh sebuah unit khas diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rob Friend sejak 2025.

Meskipun ia sebahagian daripada FAM, unit khas ini beroperasi secara berasingan. Peranan unit itu ialah pengurusan skuad kebangsaan secara profesional dari segi persiapan pasukan, pemilihan pemain, penyediaan kemudahan serta kerja-kerja mengesan pemain naturalisasi yang boleh memperkuatkan pasukan negara.

Meskipun begitu, status unit berkenaan mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak negara terutama selepas isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain negara.

Persoalan ini semakin kuat dibicarakan apabila Harimau Malaya tidak mengadakan sebarang aksi persahabatan untuk kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan Jun.

Bekas jurulatih Harimau Malaya, K. Rajagopal menyifatkan situasi ini merugikan buat skuad kebangsaan. “Kita rugi kerana kita kena ambil kesempatan untuk dapat perlawanan (untuk Harimau Malaya). 

“Kalau tidak, macam saya katakan, barisan kejurutlatihan yang sedia ada sekarang tahu apa perancangan, siapa pemain yang beliau nak panggil. Dan beliau mungkin ada semua data kecergasan pemain dan apa perlu dibuat,” katanya kepada Nadi Arena.

Ini berbeza dengan beberapa negara ASEAN yang memilih mengadakan beberapa aksi persahabatan antarabangsa. Antara yang berbuat demikian ialah Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Claim Money Packet TnG