Advertising
AFF Hormati Permintaan Terengganu
Asia Tenggara
MakanBola
Terengganu FC

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) telah membuat perubahan bagi memenuhi keperluan pasukan Terengganu FC untuk kempen Shopee Cup 2024/25.

Terengganu membawa cabaran Malaysia dalam saingan Shopee Cup atau nama rasminya, ASEAN Club Championship.

Ad

Pasukan dari Pantai Timur itu turut disertai finalis Piala FA 2023, KL City FC sebagai satu lagi wakil negara.

Ad

Majlis undian kumpulan yang diadakan di Ho Chi Minh City, Vietnam baru-baru ini menyaksikan Terengganu berada dalam Kumpulan A.

Selain skuad Peteh, BG Pathum United, PSM Makassar dan Thanh Hoa turut berada dalam kumpulan sama. Pemenang aksi play-off membabitkan Kasuka-Shan United dan Preah Khan Reach Svay Rieng-Young Elephants pada Julai ini juga berada dalam Kumpulan A.

Ad

Menariknya, AFF mengumumkan dalam majlis sama bahawa perlawanan kumpulan membabitkan Terengganu yang diadakan di negeri berkenaan tidak akan diadakan pada malam Khamis.

Ad

Ini kerana AFF mahu menghormati undang-undang negeri Terengganu yang melarang sebarang bentuk aktiviti hiburan bermula pada 6.00 petang, hari Khamis hingga 2.00 petang, hari Jumaat.

Ad

Disebabkan undang-undang sama, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memastikan perlawanan Piala AFC 2023/24 antara skuad Peteh dan Stallion Laguna pada 26 Oktober 2023 tamat sebelum jam 6.00 petang. Ini kerana tarikh perlawanan tersebut jatuh pada hari Khamis.

Tangkap layar pengumuman itu turut dikongsikan pemerhati bola sepak Terengganu, Piang Shankly di akaun X semalam.

Beliau menyifatkan tindakan badan induk bola sepak Asia Tenggara itu patut dipuji kerana memahami keperluan pasukan yang bertanding. “Terima kasih AFF. #Hormat,” katanya.

Pandangan Piang turut dipersetujui seorang pengguna X lain bernama Dili Amin. Dia melihat kesungguhan AFF ini bukan saja memastikan perjalanan kejohanan itu berjalan lancar.

Malah, ini akan mendorong kelab-kelab di rantau Asia Tenggara untuk menyertai Shopee Cup pada masa hadapan.

“Secara peribadi nampaklah AFF benar-benar serius nak memastikan AFF Club Championship ini tak wujud isu kena tukar tarikh atau waktu perlawanan.

“(Ini) supaya beri gambaran pertama (yang) baik kepada ahli-ahli gabungan untuk teruskan hantar kelab masing-masing untuk edisi-edisi akan datang,” ujarnya.

Kejohanan ini bakal bermula dari 17 Julai 2024 hingga 21 Mei 2025. Juara edisi 2024 bakal menerima hadiah wang berjumlah AS$400,000 (RM1.9 juta).