AFF U23: Kemboja 5-0 Brunei
Piala AFF
@AFFPresse
Advertisements

Skuad B-23 Kemboja memulakan kempen Kumpulan A Piala AFF B-23 dengan bergaya apabila membelasah skuad B-23 Brunei 5-0 dalam aksi pertama kumpulan di Stadium PTT, Rayong, Thailand hari ini.

Kedua-dua pasukan hanya mempunyai satu rekod pertemuan iaitu dalam aksi Piala AFF B-23 2022 yang berlangsung pada Februari tahun lepas. Aksi tersebut menyaksikan Angkor Warriors membelasah Tabuan Muda 6-0 dengan Sor Ratana menyumbat satu gol.

Justeru, tidak hairanlah rekod memalukan itu mahu dipadamkan Brunei yang dibimbing Atsushi Hanita untuk perlawanan ini. Malangnya, Ratana memastikan dirinya kembali menjadi pemusnah Tabuan Muda pada babak pertama.

Advertisements

Gol pertama Kemboja disumbang oleh Ratana pada minit kelima. Empat minit kemudian, gol sendiri penjaga gol Jefri Syafiq Ishak memastikan Angkor Warriors terus selesa di hadapan sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Tabuan Muda berusaha merapatkan jurang kelebihan yang dimiliki Kemboja. Namun begitu, Brunei terus ketinggalan apabila Ratana menambah kelebihan Angkor Warriors menerusi tandukan pada minit ke-50.

Tabuan Muda terus derita apabila pemain gantian, Mean Chanrith mudah menolak bola melepasi Jefri untuk gol keempat pada minit ke-73.

Advertisements

Seorang lagi pemain gantian, Ean Pisey melengkapkan kecemerlangan Angkor Warriors dengan gol kelima pada minit ke-89. Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini membolehkan Kemboja mendahului sementara Kumpulan A dengan tiga mata. Bagaimanapun, kedudukan ini boleh saja berubah sekiranya skuad B-23 Thailand meraih kemenangan ke atas Myanmar malam ini.

Selepas ini, Angkor Warriors bakal berdepan The Chinthe untuk aksi kedua kumpulan pada 19 Ogos. Manakala Tabuan Muda pula berdepan tugas sukar menentang Thailand pada hari yang sama.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram